Home SemasaGlobal Tiga maut serangan ibu pejabat pasukan anti pengganas

Tiga maut serangan ibu pejabat pasukan anti pengganas

by Pasri Asyraf

BAMAKO – MALI. Sekurang-kurangnya dua orang tentera dan seorang penduduk awam terkorban dalam serangan ke atas ibu pejabat pasukan anti pengganas G5 Sahel, Mali, semalam, menurut sumber keselamatan dan pemimpin tempatan.

“Sejurus selepas solat Jumaat, seorang pengebom nekad dalam kenderaan yang dicat warna Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meletupkan diri di pintu masuk pangkalan G5 di Sevare. Ia satu letupan besar,” kata sumber tentera pasukan G5 Sahel.

Menurut saksi dan gambar tempat kejadian, pintu masuk bangunan musnah akibat letupan.

Laporan awal mengatakan enam terbunuh susulan serangan namun jumlah berkenaan berkurangan berikutan kekeliruan di rumah mayat.

Sementara itu, Gabenor Sidi Alassane Toure berkata, empat orang suspek telah ditahan sambil menambah operasi mencari akan diteruskan.

Kumpulan Sokongan Muslim yang disokong Al-Qaeda, perikatan jihad utama di rantau Sahel, mengaku bertanggungjawab ke atas serangan dalam panggilan telefon kepada agensi berita Mauritania Al-Akhbar.

Ia adalah serangan kali pertama terhadap ibu pejabat pasukan lima negara yang ditubuhkan pada 2017 dengan sokongan Perancis untuk mengekang pemberontak dan kumpulan jenayah di rantau Sahel yang luas dan tidak stabil.

Serangan berlaku tiga hari sebelum berlangsungnya mesyuarat di ibu negara Nouakchott antara Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan ketua negara G5 Sahel bagi membincangkan kemajuan dilakukan pasukan tentera. -AFP

Related Articles

Leave a Reply