Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Singapura perkukuh kerjasama keselamatan negara

Malaysia, Singapura perkukuh kerjasama keselamatan negara

by Nurulhuda

SINGAPURA, 30 Jun – Singapura menyatakan kesediaan untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan Malaysia berhampiran Batuan Tengah dan pulau Batu Putih, kata Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen sambil menambah inisiatif itu akan mengurangkan kos untuk mengawal laluan perkapalan penting di kawasan perairan terbabit.

Dalam satu wawancara sebelum ini, Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu mencadangkan kedua-dua negara meningkatkan keselamatan di perairan sibuk pintu masuk Selat Singapura itu yang menghubungkan beberapa ekonomi besar di Asia Barat dan Asia Timur.

“Saya menyokong penuh cadangan beliau. Tidak logik untuk menghantar lebih banyak aset di sekitar Batu Putih atau Batuan Tengah, jika kita boleh mencapai pelan bersama,” kata Dr Ng semalam.

Ketika ini, kedua-dua negara bersama Indonesia dan Thailand menjalankan rondaan bersama di Selat Melaka dan Singapura. Tentera laut semua negara itu sering bertemu untuk menilai dan memperbaiki penyelarasan serta bertukar maklumat risikan dan insiden yang menimbulkan kesangsian.

“Ia akan mengurangkan keperluan kita di sana dan kita boleh mencapai persefahaman mengenainya. Kita juga melakukannya untuk misi mencari dan menyelamat,” kata Dr Ng tanpa mengulas lanjut sambil memuji pandangan bijak rakan sejawatannya dari Malaysia.

Dr Ng berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat bilateral atau multilateral pertahanan kedua-dua negara.

“Sebagai negara berjiran paling rapat, kerjasama adalah caranya. Kami mahu akan menerokai lebih banyak peluang untuk bekerjasama,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply