MELAKA, 29 Jun – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga Tentera Darat di pekarangan Dewan Serbaguna Kem Terendak, di sini sebentar tadi.
Mohamad yang tiba pada pukul 5.30 petang dari Ipoh, Perak bersama isteri, Normah Alwi disambut oleh Ketua Menteri, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.
Turut menyambut kehadiran Mohamad ialah Panglima 3 Divisyen Kem Terendak, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan kira-kira 5,000 warga Tentera Darat Melaka bersama keluarga masing-masing.
Majlis sambutan itu diserikan dengan hidangan pelbagai jenis juadah melibatkan 14 buah gerai dan Mohamad sebelum majlis berakhir menyampaikan duit raya kepada anak-anak tentera.