Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut KD Lekiu tiba di Hawaii, warga TLDM menjadi duta kecil Malaysia

KD Lekiu tiba di Hawaii, warga TLDM menjadi duta kecil Malaysia

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Kapal TLDM, KD Lekiu telah tiba ke Pelabuhan Pier B7 Joint Base Pearl Harbor Hickam, Hawaii pada sekitar 7 pagi waktu tempatan. Ketibaan KD Lekiu ke Hawaii adalah bagi menyertai latihan ketenteraan mairitim antarabangsa terbesar di dunia, Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC).

Eksesais ini yang melibatkan 52 buah kapal daripada pelbagai negara, 5 buah kapal selam, 19 angkatan tentera darat, 29 buah pesawat rondaan maritim, 200 buah pesawat pejuang dan helikopter serta 25,000 anggota.

Malaysia melalui TLDM diwakili oleh KD Lekiu yang mempunyai kekuatan 150 orang anggota dan pegawai.

KD Lekiu telah berjaya tiba di Hawaii selepas 33 hari pelayaran dari Lumut. Foto: KD Lekiu/TLDM

Eksesais RIMPAC 2018 pada kali ini bertemakan “Capable, Adaptive, Partners”akan bermula pada 27 Jun sehingga 2 Ogos di Kepulauan Hawaii dan California Selatan.

Dalam RIMPAC 2018, TLDM akan menyertai beberapa fasa latihan seperti Fasa Pelabuhan yang sedang berlangsung dari 27 Jun sehingga 8 Julai 2018. Fasa ini merupakan salah satu medium pengukuhan diplomasi pertahanan melalui simposium, lawatan kapal dan perbincangan antara pegawai-pegawai tentera laut.

Pada fasa ini, anggota dan pegawai TLDM akan menjadi duta kecil kepada TLDM dan negara. Mereka akan memainkan peranan dalam meningkatkan perkongsian ilmu dan pengalaman selain daripada mengeratkan lagi hubungan tentera laut antara negara.

Latihan RIMPAC 2018 bukan sekadar latihan ketenteraan tetapi merupakan platform untuk merapatkan hubungan diplomatik antara angkatan laut , yang merupakan salah satu jujukan diplomasi pertahanan. Foto: KD Lekiu/TLDM

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman, penyertaan TLDM dalam RIMPAC 2018 adalah bukti inisiatif dan komitmen TLDM dalam menyokong hubungan diplomasi pertahanan antara negara selain dapat membuktikan bahawa aset TLDM sentiasa berdaya saing dan setaraf dengan tentera laut bertaraf global.

Eksesais RIMPAC 2018 merupakan salah satu siri latihan ketenteraan maritim dwitahunan yang terbesar dan dilaksanakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).

Latihan kali ini merupakan penyertaan pertama TLDM secara langsung dan bersama 27 buah negara lain dalam satu latihan bersama.

 

Related Articles

Leave a Reply