Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM Sasar Penjimatan Kos Rm180 Juta Tahun Ini

TLDM Sasar Penjimatan Kos Rm180 Juta Tahun Ini

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 26 Jun – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyasarkan penjimatan sebanyak RM180 juta pada tahun ini melalui Program Transformasi ‘15 to 5’ Armada TLDM, kata Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, TLDM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadikan proses perolehan lebih terkawal, tersusun dan efisien di samping dapat mengurangkan ketirisan.

Malah, katanya, dengan  pelaksanaan transformasi itu juga, TLDM berjaya mencapai penjimatan sebanyak RM98 juta pada tahun lalu.

“Kita beli (kapal) yang perlu sahaja mengikut keutamaan. Kita tidak beli kerana mahu yang terbaik, termahal atau tercanggih, semua itu sudah diubah dalam proses perolehan kita. Dengan pendekatan ini dapat mengurangkan ketirisan, risiko rasuah dan menentukan perolehan berdasarkan keperluan sebenar.

“Contohnya, sebelum ini kapal-kapal lama yang diselenggara memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi tetapi disebabkan telah usang kapal itu kerap rosak dan proses pembaikan itu telah dihentikan yang membolehkan peruntukan itu dapat diagihkan untuk pembangunan kapal-kapal baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

​​​​​​​​​​​​​​Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah terima tugas antara Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman kepada Panglima Armada Timur yang baharu Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob di Pangkalan TLDM, Sepanggar di sini semalam.

Abdul Rahman, 54, merupakan bekas Panglima Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) yang berpangkalan di Sandakan manakala Syed Zahiruddin Putra Osman yang berkhidmat sejak 27 April tahun lalu dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama di Markas Angkatan Bersama Kuala Lumpur mulai 10 Julai depan.

Ahmad Kamarulzaman berkata transformasi TLDM itu turut memenuhi dan selaras dengan aspirasi kerajaan baharu yang mengamalkan penjimatan, mengurangkan pembaziran serta memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Transformasi itu sejajar dengan kehendak kerajaan dan rakyat. Dalam konteks TLDM, kehadiran kapal-kapal TLDM menjalankan tanggungjawabnya dapat dilihat oleh masyarakat di luar sana akan memberi impak rasa selamat dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Kamarulzaman berkata seramai 120 anggotanya telah mendaftar untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) secara sambilan menerusi program khas bersama universiti tempatan.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 26 anggota TLDM Sepanggar akan memulakan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama 18 bulan bermula Ogos ini.

“Selain UMS, TLDM turut menerima tawaran penyediaan pakej pengajian itu daripada beberapa universiti awam dan swasta, kini dalam peringkat akhir memilih pakej terbaik untuk ditawarkan kepada pegawai TLDM yang berminat di Kuala Lumpur, Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply