Home Semasa Beberapa jabatan pasukan khas PDRM distruktur semula – Muhyiddin

Beberapa jabatan pasukan khas PDRM distruktur semula – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menstruktur semula beberapa jabatan pasukan khasnya untuk tujuan penambahbaikan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata beliau telahpun mengadakan mesyuarat dan taklimat pertama dengan kepimpinan tertinggi PDRM hari ini untuk memperinci perkara tersebut.

“Saya telah dengar taklimat pertama tentang penstrukturan jabatan dalam PDRM hari ini termasuk beberapa pasukan “task force” juga akan dibubarkan, sebab kita mahu ‘outcome’ yang lebih baik daripada PDRM.

“Keputusan (penstrukturan) akan diketahui dalam tempoh masa seminggu ke dua minggu lagi untuk mendapatkan beberapa lagi cadangan daripada PDRM,” katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini.

Beliau menjelaskan penstrukturan itu adalah untuk penambahbaikan PDRM agar dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada pasukan itu sekaligus mengembalikan imejnya sebagai pasukan yang dihormati sebelum ini.

Dalam pada itu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata antara jabatan yang akan terbabit dalam penstrukturan semula itu ialah Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gangsterisme (STAGG) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

“Kita akan buat penstrukturan semula dalaman dan rombakan semula,” katanya ketika ditemui pada majlis yang sama.

Menurutnya PDRM akan menyediakan laporan lengkap penstrukturan baharu itu dalam masa terdekat.

Related Articles

Leave a Reply