Menterinya, Mohamad Sabu berkata, lawatan sehari berkenaan akan turut membawa pelbagai bantuan antaranya peralatan perubatan, khemah dan peralatan kesihatan bagi menampung keperluan khidmat pasukan tersebut di lokasi yang menempatkan kem pelarian etnik Rohingya dari Myanmar itu.

“Saya juga akan menyertai delegasi yang akan disertai 30 wakil ini dan dicadang menaiki pesawat tentera (Tentera Udara Diraja Malaysia). Tujuan kita pergi adalah untuk memberi sokongan kepada lebih kurang 60 doktor dan anggota perubatan yang bertugas di sana.

“Tugas mereka ini bukan mudah kerana perlu berkhidmat dalam tekanan malah berdepan dengan pelarian dan pelbagai penyakit. Mana-mana pihak yang mahu memberi sumbangan kepada pelarian Rohingya juga dialu-alukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Negara (Amanah) Cawangan Shah Alam di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga presiden Amanah berkata, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghantarnya ke Biro Kebajikan Amanah di kawasan masing-masing sebelum 2 Julai ini dan antara barangan yang amat diperlukan oleh pelarian Rohingya adalah makanan selain coklat bagi kanak-kanak. – BERNAMA