Home Pertahanan dan Keselamatan Tarik balik tentera Malaysia di Riyadh – Eric Paulsen

Tarik balik tentera Malaysia di Riyadh – Eric Paulsen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Badan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty, melahirkan kebimbangan dengan pembabitan tentera Malaysia dalam peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman yang bermula pada tahun 2015 sehingga kini.

Justeru, Pengarah Eksekutifnya, Eric Paulsen, menggesa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menjelaskan kehadiran tentera Malaysia di Riyadh dan penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perang di Yaman.

“Jika benar tentera kami (Malaysia) digunakan untuk membantu usaha pemindahan (mangsa konflik), kerja itu sepatutnya dilakukan sekarang dan tidak perlu diteruskan selama lebih tiga tahun.

“Alasan bahawa tentera Malaysia diperlukan untuk menjalankan kerja kemanusiaan tidak masuk akal kerana Malaysia adalah sebahagian daripada gabungan yang diketuai Arab Saudi yang menyebabkan perang dan bencana kemanusiaan yang digambarkan sebagai paling buruk di dunia oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Eric berkata, Malaysia ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak serta bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, juga tidak memberi maklum balas kepada kebimbangan PBB itu.

“Malaysia mempunyai prinsip jangka panjang iaitu tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain yang mempunyai hubungan baik.

“Malaysia juga tidak mempunyai sebarang urusan untuk terbabit dalam perang di Yaman,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta Menteri Pertahanan menghentikan semua penyertaan ketenteraan dalam konflik di Yaman dan menarik balik tentera Malaysia yang ditempatkan di Riyadh.

Related Articles

Leave a Reply