KLANG, 9 Jun – Gara-gara cemburu, seorang mekanik sanggup menyimbah petrol dan membakar teman wanita sendiri dalam kejadian di rumahnya di Andalas di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam insiden itu, suspek berusia 24 tahun itu dikatakan bergaduh dengan teman wanitanya.
Beliau berkata, suspek kemudiannya turut memukul mangsa berusia 24 tahun itu dengan paip getah pada bahagian badan.
Katanya, suspek yang berang turut mengambil minyak petrol sebelum menyalakan api menyebabkan mangsa terbakar di keseluruhan badannya.
“Susulan itu, mangsa yang melecur teruk akibat kejadian itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
“Mangsa bagaimanapun menceritakan kejadian yang berlaku kepada ibunya yang datang melawat kira-kira jam 10 pagi, semalam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Shamsul Amar berkata, suspek turut dimasukkn ke HTAR kerana mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan akibat kebakaran tersebut.
Beliau berkata, setakat ini siasatan awal menunjukkan kejadian berlaku ada motif cemburu.
Katanya, tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat sebaik suspek dilaporkan pulih dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.