Home Semasa Patriot gesa sertakan bekas pegawai tentera bagi dalam siasatan

Patriot gesa sertakan bekas pegawai tentera bagi dalam siasatan

by Noor Sheila Amin

Kuala Lumpur, 8 Jun – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa jawatankuasa siasatan khas berhubung perolehan untuk sertakan bekas pegawai tentera bagi membantu siasatan.

“Kami yakin ramai (bekas pegawai tentera, yang terlibat dengan perolehan) sanggup tampil untuk mendedahkan salah laku melibatkan penyelewengan, terutamanya dalam perolehan peralatan asas utama untuk tiga angkatan tentera,” kata Presiden Patriot, Brigadier Jen (B) Mohamed Arshad Raji.

Beliau memuji penubuhan Jawatankuasa Penyiasatan Hal Ehwal Pentadbiran, Perolehan dan Kewangan, yang dipimpin oleh bekas Ketua Audit Ambrin Buang.

Ambrin merupakan ketua audit negara bermula 2006 hingga Februari tahun lalu.

“Penyelewengan dalam Kementerian Pertahanan telah berlarutan sejak sekian lama, dan dalam sesetengah kes (yang dipercayai) membabitkan mereka dalam angkatan tentera,” kata Arshad.

“Ini perlu dihentikan, dan diharap hasil siasatan Jawatankuasa Khas bagi Hal Ehwal Pentadbiran, Perolehan dan Kewangan akan menghentikan semua amalan penyelewengan oleh pegawai atasan dalam Kementerian Pertahanan.”

Katanya, Ambrin perlu memberi perhatian kepada perolehan utama peralatan pertahanan bagi tiga angkatan tentera sejak 2000, dengan jumlah keseluruhan berbilion ringgit.

“Terdapat dakwaan beberapa pegawai kanan tenetra terbabit dalam penyelewengan, berkaitan dengan kontraktor pertahanan.

“Terdapat juga dakwaan kontrak yang diberikan kepada pembekal yang merupakan kroni kepada beberapa pegawai kanan tentera. Jadi kebiasaan untuk pembekal menubuhkan beberapa syarikat milik mereka untuk mendapatkan kontrak yang sama.

Patriot sebelum ini menggesa kerajaan Pakatan Harapan menyiasat skandal kapal selam Scorpene, penswastaan tanah tentera, perolehan pada kadar rata dan kekurangan bekalan ubat di hospital tentera.

Persatuan itu turut membangkitkan pembelian empat kapal misi (LMS) dari China pada harga RM1.17 bilion tahun lalu berbanding anggaran RM250 juta yang dilaporkan pada 2016.

“LMS adalah kapal peronda ringan yang lengkap dengan senjata api. Harganya boleh diperiksa dengan mudah dengan pembekal berlainan,” kata Arshad.

“Bagi mereka yang tahu, harga RM1.17 bilion adalah terlalu tinggi” ujarnya lagi.

Related Articles

Leave a Reply