Home PolitikBarisan Nasional Umno Johor perlu bangkit semula – Md Jais

Umno Johor perlu bangkit semula – Md Jais

by Nurulhuda

KLUANG – Umno Johor menggesa ahlinya untuk bangkit melancarkan gerak kerja mulai sekarang sekiranya ingin melihat parti keramat orang Melayu ini terus bernyawa dan menjadi tonggak kepimpinan negara pada masa akan datang.

Berikutan itu, semua peringkat ahli parti termasuk anggota sayap harus menyusun strategi untuk mendekati rakyat bagi memberikan penerangan agar ia dapat dilihat terus relevan untuk mewakili suara rakyat.

Setiausaha Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, kekalahan parti itu dalam PRU14 baru-baru ini harus membuka minda semua peringkat ahli parti untuk memikirkan langkah yang harus dilakukan bagi membolehkan parti ini bangkit semula.

“Hakikatnya ada hikmah di sebalik kekalahan yang berlaku ini kerana melaluinya kita dapat mengenali siapa kawan sejati yang sanggup berjuang di dalam susah dan senang selain mereka yang benar-benar setia terhadap parti keramat ini.

“Kekalahan ini juga secara tidak langsung merapatkan lagi ikatan silaturahim di antara ahli parti secara keseluruhannya malah ia juga menjadikan kami lebih kuat untuk bangkit bersama tekad baharu,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Umno Cawangan Ilham Datuk Amar di Taman Ilham di sini, semalam.

Md Jais yang juga Ketua Umno Bahagian Kluang berkata, tidak ada yang mustahil untuk parti ini bangkit semula berdasarkan pengalaman Umno yang pernah menerajui kepimpinan negara lebih 60 tahun.

Beliau percaya parti keramat itu masih berada di dalam diri dan hati setiap orang Melayu di negara ini.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menyusun semula barisan kepimpinan parti di samping meremajakannya agar melaluinya nanti akan dapat memberikan kesedaran terhadap rakyat bahawa Umno adalah satu-satunya yang membawa perjuangan untuk membela bangsa, agama dan negara.

“Sesungguhnya rakyat sentiasa memerhatikan apa yang kita lakukan sebelum ini atau pada masa akan datang. Jadi, ketelusan semua ahli parti untuk berjuang menegakkan kedaulatan bangsa dan agama amat diperlukan,” katanya.

Md Jais turut berharap ahli yang akan bersama parti Umno selepas ini adalah golongan yang benar-benar ikhlas memperkasakan parti dan bukan hanya berdamping ketika senang sahaja.

Related Articles

Leave a Reply