Seorang pegawai kerajaan yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan anggota perikatan terbabit melancarkan serangan melalui tentera laut mereka dan menjadikan kawasan Al-Hali yang dikuasai Houthi sebagai sasaran.

“Peluru berpandu dilancarkan daripada kapal perang dan tepat mengenai kawasan Houthi dan mengakibatkan kehilangan jiwa di pihak pembe­rontak,” kata sumber itu.

Penduduk Hodeidah dalam pada itu berkata, mereka dapat dengar bunyi letupan yang kuat di seluruh bandar berkenaan akibat serangan tentera laut diketuai Arab Saudi yang mengenai gudang senjata Houthi.

Serangan laut itu berlaku kurang seminggu selepas kempen ketenteraan pada skala besar memerangi Houthi dilancarkan tentera Yemen yang berjaya menawan beberapa kawasan penting di Hodeidah.

Kelmarin, sejumlah besar anggota pemberontak terbunuh akibat serangan udara yang dilancarkan tentera udara perikatan dan pertempuran dengan Pasukan Pertahanan Yemen Bersama di pantai Laut Merah yang mengakibatkan lebih 140 anggota Houthi terbunuh dalam tempoh dua hari.

Agensi berita UAE, WAM berkata, kesan kemusnahan akibat serangan itu berjaya melemahkan kemampuan ketenteraan pemberontak di tengah-tengah peningkatan kemaraan darat Pasukan Pertahanan Yemen ke Lapangan Terbang Hodeidah dan pelabuhannya.

Tentera perikatan diketuai Arab Saudi memerangi Houthi sejak Mac 2015 dengan lebih 10,000 penduduk kebanyakan­nya orang awam terbunuh dalam perang itu yang turut mengakibatkan lebih tiga juta penduduk berpindah sekali gus memaksa Yemen di ambang kebuluran.

Sementara itu, AS memberi amaran kepada sekutu rapatnya UAE supaya tidak melancarkan serangan ke atas bandar Hodeidah yang dibimbangi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mewujudkan krisis kemanusiaan baharu di Yemen.

Amaran itu dikeluarkan ketika tentera UAE yang disokong tentera Yemen bergerak dalam jarak 10 kilo­meter daripada pelabuhan di Laut Merah tersebut yang menjadi laluan kemasukan bantuan kemanusiaan ke negara ini yang kini dikuasai Houthi.

Pegawai PBB memberi amaran bahawa serangan terhadap Hodeidah, yang mempunyai penduduk kira-kira 600,000 orang penduduk akan mengakibatkan bencana kemanusiaan.

“Dari segi operasi di Hodeidah, kami amat jelas bahawa kami mahu terlibat dalam penyelesaian politik dan perkara ini sudah dibincangkan di pe­ringkat atasan,” kata seorang pegawai Barat yang tidak mahu namanya didedahkan. – BERNAMA/REUTERS