Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Beli peralatan tentera bersesuaian dengan keperluan – Mohamad Sabu

Beli peralatan tentera bersesuaian dengan keperluan – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 7 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bagi menerima menghadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Istana Bukit Kayangan, sebentar tadi.

Mohamad atau Mat Sabu tiba di Istana Bukit Kayangan sekitar jam 10.30 pagi dan pertemuan bersama Sultan Selangor itu telah berlangsung selama kira-kira satu jam.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu merafak sembah menghadap DYMM Sultan Selangor di Shah Alam pagi tadi. Foto twitter @tldm_rasmi

Mengulas mengenai intipati pertemuan tersebut, Mohamad memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan panjang bersama Sultan Selangor yang juga merupakan Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melibatkan aspek kepentingan Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (Maritim) mengikut situasi pada masa kini.

“Malah TLDM juga perlu diperhebatkan berikutan suatu masa dahulu hasil negara hanya di darat namun kini kawasan perairan juga turut menyumbang kepada hasil negara seperti pelantar-pelantar minyak di Laut China Selatan.

“Selain itu, Laut China Selatan juga turut menjadi pertarungan kuasa-kuasa besar dan oleh itu Malaysia harus memainkan peranan untuk sentiasa bersiap-siaga bukan untuk berperang tapi untuk menjaga kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Menerusi pertemuan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memaklumkan bahawa Sultan Selangor turut memberi nasihat berhubung aspek peralatan ketenteraan pada masa kini bagi memastikan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan siap-siaga.

“Malah baginda turut mengingatkan supaya pembelian peralatan ketenteraan seharusnya bersesuaian dengan kehendak semasa TLDM.

“Dan nasihat-nasihat baginda itu perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatannya ke Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri La (SLD) Edisi ke-17 baru-baru, Mohamad menjelaskan bahawa Malaysia telah menyatakan bahawa negara ini menolak sekiranya konflik pertarungan di Timur Tengah antara kuasa-kuasa besar di bawa ke negara ini.

Mohamad berkata, proses kawalan di kawasan perairan perlu dilaksanakan dengan sebaiknya berikutan Malaysia mempunyai kawasan yang luas melibatkan semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Malah dalam dialog itu juga, kita turut menyatakan untuk menjadi negara berkecuali dan menginginkan sebuah negara yang aman,”katanya.

Related Articles

Leave a Reply