Home Pertahanan dan Keselamatan Anugerah saya dari Agong, bukan Menteri Pertahanan – Mejar David Teo

Anugerah saya dari Agong, bukan Menteri Pertahanan – Mejar David Teo

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 7 Jun – Seorang penerbit filem yang merupakan antara orang awam yang dianugerahkan pangkat kehormat tentera mempersoalkan gesaan supaya dihentikan amalan pengurniaan pangkat dan pemakaian seragam tentera oleh mereka yang bukan tentera.

David Teo, yang pernah menerima anugerah Tauliah Kehormat Dalam Angkatan Sukarela Persekutuan yang membawa gelaran Mejar (Kehormat), berkata, anugerah yang diperolehnya adalah daripada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya daripada menteri pertahanan.

“Anugerah saya daripada Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Agong ketika itu, bukannya melalui menteri. Menteri hanya boleh mengeluarkan surat cadangan sahaja.

“Selepas itu panglima-panglima akan membuat mesyuarat. Selepas mesyuarat dan persetujuan panglima, baru ke Agong dan Agong akan luluskan,” katanya lagi.

Kementerian Pertahanan baru-baru ini berkata akan mengkaji semula amalan pengurniaan pangkat dan pemakaian seragam tentera oleh ahli politik dan selebriti, selepas seorang bekas pegawai tinggi tentera berkata amalan sedemikian tidak menghormati kedudukan tentera dan pengorbanan mereka sebelum diberikan anugerah dan pangkat.

“Kami perlu bersusah payah untuk mendapat pangkat itu pada seragam kami. Saya rasa sangat tidak masuk akal tentera memberikan pangkat kehormat kepada menteri besar, ahli politik dan selebriti,” kata Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, yang mengetuai Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) kepada FMT minggu lalu.

Susulan itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengarahkan amalan itu dikaji balik, sambil berkata ia demi menghormati kedudukan tentera dan mengelakkan nilai pangkat dan gelaran pasukan itu direndahkan.

Teo bagaimanapun berkata Mohamad, atau Mat Sabu “tidak tahu” prosedur mendapatkan anugerah kehormat.

Menurutnya, gelaran “Mejar” yang diterimanya berdasarkan sumbangannya kepada askar wataniah kerana mempromosikan orang ramai seperti membawa artis dan media untuk menyertai pasukan itu.

“Selepas itu apabila proses pengambilan berjaya dalam setahun, barulah saya dicadangkan oleh menteri untuk pangkat, dan panglima yang memberikan pangkat saya.”

Teo bagaimanapun berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Kementerian Pertahanan menarik balik anugerah itu.

“Kalau nak ambil, ambillah. Tak ada masalah. Bukan boleh untung.

“Saya cerita untung ma… orang nak bagi saya Datuk Seri, saya pun tak nak ma,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply