Home SemasaGlobal AS singkir pegawai atasan tentera Pyongyang

AS singkir pegawai atasan tentera Pyongyang

by Noor Sheila Amin

WASHINGTON, 4 Jun – Tiga pegawai atasan tentera Korea Utara disingkirkan daripada jawatan mereka, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) semalam ketika Presiden Donald Trump dan pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un bersiap sedia bertemu di Singapura pada 12 Jun ini.

Pegawai AS terbabit yang enggan dikenali, mengulas laporan agensi berita Korea Selatan mengenai penggantian ketiga-tiga pegawai atasan tentera Korea Utara itu.

Jumaat lalu, Trump menghidupkan semula sidang kemuncak itu selepas membatalkannya. AS sedang berusaha berunding bagi menamatkan program senjata nuklear Korea Utara.

Pegawai AS percaya, wujud perselisihan dalam tentera berhubung pendekatan Jong-un terhadap Korea Selatan dan AS.

Yonhap mengenal pasti pegawai tentera terbabit yang disingkir sebagai ketua pertahanan, Pak Yong-sik; Ri Myong-su, ketua turus kakitangan Tentera Rakyat Korea (KPA) dan Kim Jong-gak, pengarah Biro Politik Umum KPA.

Trump mahu Korea Utara melakukan gencatan senjata, bermaksud menghapuskan senjata nuklearnya sebagai balasan sekatan ekonomi ditarik balik.

Kepimpinan Korea Utara menganggap senjata nuklear penting terhadap kelangsungannya.

Memetik pegawai perisikan tidak dinamakan, Yonhap berkata, Menteri Pertama Kementerian Pasukan Bersenjata Rakyat, No Kwang-chol menggantikan Pak Yong-sik sebagai ketua pertahanan sementara Ri Myong-su digantikan timbalannya, Ri Yong-gil.

Katanya, penggantian Jeneral Kim Su-gil sebagai pengarah Biro Politik Umum KPA disahkan dalam laporan media tempatan bulan lalu. -Reuters

Related Articles

Leave a Reply