SUBANG, 1 Jun – ‘Kuasa Udara Tonggak Kedaulatan Negara’ menjadi tema bagi Hari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke – 60 pada tahun ini bertepatan dengan fungsinya yang sentiasa menjaga ruang angkasa dan mempertahankan kedaulatan negara.
Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, tema ‘kuasa udara, tonggak kedaulatan negara’ dipilih kerana ia mudah difahami dan dihayati oleh warga TUDM di mana untuk mempunyai kuasa padu, setiap warganya harus sentiasa bersatu demi mencapai misi dengan ditunjangi kemahiran juruterbang dan kebolehan aset- aset terkini milik TUDM.
“Slogan ini amat relevan untuk menentukan warga TUDM memahami dasar fungsi TUDM dan kenapa mereka perlu berada di TUDM. Apakah tugas mereka dan mengapa tugas mereka sangat penting, ” katanya dalam satu wawancara khas bersama media di Pangkalan TUDM Subang sempena ulang tahun TUDM ke-60, hari ini.
Seperti biasa, sambutan hari ulang tahun ini juga pastinya dimeriahkan pelbagai program melibatkan TUDM yang diadakan di semua pangkalan TUDM dengan menyasarkan usaha padu mendekatkan rakyat kepada agensi pertahanan udara tersebut.
“Ini bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengetahui mengenai TUDM, apa yang kita ada (aset TUDM) sekali gus mahu rakyat memahami tugas TUDM dan tujuan perbelanjaan wang yang digunakan untuk TUDM,” jelasnya.
Untuk rekod, beberapa acara menarik berbentuk ketenteraan seperti istiadat perbarisan bersama panji-panji skuadron antara yang diadakan sempena ulang tahun TUDM.
Agensi pertahanan ini sememangnya sentiasa melindungi dan memajukan kepentingan negara menerusi penyediaan dasar strategik udara, pembangunan, ‘delivery’ dan perlindungan terhadap ketenteraan, perisikan dan ‘enabling capabilities’ serta mengutamakan keselamatan, kestabilan serantau serta global.
“Pertahanan, kuasa udara boleh atau senang digugat, jadi dengan adanya kelebihan pada kuasa udara kita akan memberi kita satu lonjakan atau kelebihan untuk mempunyai ‘output’ yang jauh. Ini adalah antara perkara penting mengapa kita perlu mempunyai kuasa udara mantap.
“Selain daripada itu, pemahaman mengenai kuasa udara ini bukan sekadar difahami sebagai sesuatu yang memerlukan bajet atau perbelanjaan tinggi. Itu tidak semestinya kerana yang penting adalah perancangan dan bagaimana mahu menginterpretasikan perancangan tersebut serta bagaimana kita mahu mempunyai ‘sustainability’ dari segi penyelenggaraan dan latihan yang efektif,” katanya.
Sehubungan itu tegas Affendi, untuk mempunyai kuasa udara yang mantap semua perkara tersebut perlu disinergikan supaya memperoleh hasil yang besar kerana tugas memantapkan kuasa udara ini memang memerlukan sistem efektif.
Antara pelan transformasi dalam menjadikan pasukan TUDM ke aras yang cemerlang adalah pelan pembangunan TUDM hingga 2055, mengekalkan keupayaan untuk melaksanakan eksasais dan operasi bergabung, berkebolehan bergabung dengan aset aset Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan agensi kerajaan lain serta bukan kerajaan supaya tugas -tugas operasi, latihan kecemasan dan bukan kecemasan dapat menyumbang kepada kepentingan nasional serta penekanan kepada aspek ‘effect based operation’ dan ‘revolution military affairs’ di mana memerlukan penggunaan jenis aset yang optimum, mengikuti perkembangan teknologi semasa dan mencapai ‘operational outcomes’ secara berkesan.
Mengenai penyusunan aset operasi TUDM, Affendi berkata, perkara yang perlu dinilai adalah mengenai apa yang TUDM miliki sekarang dan apa keperluan TUDM pada masa depan yang pastinya berkait dengan kemampuan sumber kewangan negara sama ada kita mampu membeli aset baharu dan kemampuan untuk memastikan aset itu sentiasa dalam keadaan baik.
“Aset yang kita ada sekarang ini rata-ratanya sudah menjangkau usia lebih 20 tahun dan memerlukan penaiktarafan.
“Isu aset ini perlu ditangani kerana ia perlukan peningkatan taraf sama ada menukar alat ganti. Jika tidak ia menyebabkan kos selenggara tinggi ,” ujarnya.
Pada masa sama kata Affendi, tidak guna jika membeli sesuatu aset berkeupayaan tinggi tetapi akhirnya kita tidak mempunyai keupayaan untuk menyelenggara secara efektif ke atas aset tersebut, jika tidak ia boleh menimbulkan isu serta konfkik terhadap keupayaan pesawat TUDM.
Dalam pada itu katanya, dalam usaha menentukan kuasa udara pada tahap diperlukan, keperluan aset yang cukup dan tahap kemahiran juruterbang berasaskan latihan yang tinggi adalah penting.
Pembelian aset TUDM juga adalah berdasarkan bajet tahunan yang diperuntukkan oleh kerajaan dan pastinya TUDM membuat penilaian terhadap keperluan aset itu terlebih dahulu pada masa sama mengutamakan kepakaran juruterbang tidak menurun, katanya.
Menyentuh mengenai usia pesawat TUDM Affendi menyatakan, antara pesawat berusia bawah 20 tahun dimiliki TUDM sekarang ini adalah seperti A400, EC75 dan pesawat Sukhoi manakala pesawat lain seperti F-18 (Hornet) sudah dilakukan selenggara, pesawat Hawk dan C-130 (Hercules) memerlukan peningkatan taraf.
Manakala Nuri yang sudah berusia 50 tahun, walaupun dari segi komponen masih baik, memandangkan usia pesawat itu sudah lama, penggunaannya masih menjadi isu. Namun ia bukanlah penghalang bagi TUDM untuk menggalas tugas yang diberikan demi menjaga kedaulatan dan mempertahankan negara yang dicintai.
Selamat Hari TUDM, Sentiasa di Angkasa Raya!