Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim lancar OPS Pagar Laut

Maritim lancar OPS Pagar Laut

by Noor Sheila Amin

PONTIAN 29 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) akan meningkatkan pemantauan di perairan Johor terutama antara Batu Pahat dan Kukup di Pontian menerusi Ops Pagar Laut sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri ini.

Pengarah Maritim Johor, Datuk Abu Bakar Idris berkata, langkah itu bagi membendung pelbagai kegiatan jenayah termasuk ‘gangguan’ daripada pihak berkuasa negara jiran terhadap nelayan tempatan.

Beliau berkata, setakat April lepas, enam kes dilaporkan oleh nelayan tempatan berhubung gangguan berkenaan.

“Kes berlaku sejak tahun lepas apabila nelayan ditangkap dan diugut bagi mendapatkan bayaran pampasan. Kita sudah maklumkan perkara ini kepada agensi di negara jiran, tetapi besar kemungkinan ia (kejadian) tidak diketahui orang atasan kerana dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu, penting untuk kita mengesahkan sama ada dia benar-benar anggota penguatkuasa negara jiran ataupun menyamar sahaja,” katanya kepada pemberita pada Program Berbuka Puasa Maritim bersama media dan Penyerahan Bingkisan Raya di perairan Pulau Pisang, di sini, semalam.

Abu Bakar berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan nelayan tempatan yang ditahan kumpulan penjenayah itu akan dibawa ke perairan negara jiran untuk proses mendapatkan pampasan.

Justeru, menurutnya, bagi membendung perkara tersebut daripada berterusan, Maritim akan meletakkan anggotanya di bot-bot nelayan tempatan bagi memantau dan menangkap mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai terutama warga asing agar menggunakan laluan yang diwartakan pihak berkuasa untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri ini.

“Ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini seperti bot karam,” katanya.

Ops Pagar Laut yang dilancarkan pada awal Ramadan, akan berakhir dua minggu selepas Aidilfitri

Related Articles

Leave a Reply