Home PolitikBarisan Nasional Peguam minta Jamal tampil selesai proses ikat jamin

Peguam minta Jamal tampil selesai proses ikat jamin

by Nurulhuda

SUNGAI BESAR, 26 Mei – Peguam meminta Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal  Md Yunos menghubunginya segera atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi menyempurnakan proses ikat jamin.

Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, beliau percaya polis akan memberikan kerjasama dan bantuan sewajarnya tanpa perlu ada sebarang tangkapan.

“Saya memohon kemaafan kepada semua terlibat terutamanya pihak polis, mahkamah dan hospital dalam kes in,” katanya dalam kenyataan medianya pagi tadi.

Mohd Imran turut memohon bantuan rakan-rakan agar dapat membantu kumpulan peguam dan pihak polis mengesan Jamal agar proses ikat jamin tersebut dapat disempurnakan tanpa sebarang implikasi terhadap mana-mana pihak.

“Saya percaya mungkin berlaku sedikit ‘miscommunication’ (salah faham) dan anak guam kami beranggapan proses ikat jamin tersebut telah sempurna.

“Ini adalah pengalaman pertama beliau dalam menghadapi situasi atau prosedur pertuduhan luar kamar mahkamah,” katanya.

Mohd Imran yang juga Adun Sungai Panjang berkata, beliau percaya, kehilangan Jamal itu adalah kes kekhilafan tanpa sebarang niat melakukan apa-apa jenayah termasuk niat untuk lari dari tahanan.

“Saya khuatir beliau dalam keadaan trauma atau tekanan kerana situasi dan keadaan ini adalah sesuatu yang baru untuk beliau,” katanya.

Katanya,  ketika kumpulan peguam membantu proses ikat jamin, anak guam mereka telah keluar dari wad sebelum proses tersebut sempurna dan gagal mendapatkan Jamal, petang semalam, untuk melengkapkan proses ikat jamin.

“Saya bersama dengan rakan-rakan bijaksana saya yang lain telah dibawa ke IPD Ampang Jaya pada jam lebih kurang 5 petang untuk membantu polis mengesan dan mendapatkan anak guam kami bagi melengkapkan proses tersebut mengikut aturan dan prosedur yang sepatutnya.

“Setelah hampir lebih 10 jam usaha untuk mendapatkan beliau gagal, kami telah dibenarkan pulang untuk terus membantu pihak polis bagi menyelesaikan proses tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Jamal dikatakan tiada di bilik wad, Hospital Pakar Ampang Puteri, petang semalam, namun peguam dan penjaminnya masih berada di hospital berkenaan.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital sama sekitar jam 10.45 pagi, semalam.

Difahamkan kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang hari sama.

Related Articles

Leave a Reply