Home PolitikBarisan Nasional Shabery letak jawatan Ketua Umno cawangan

Shabery letak jawatan Ketua Umno cawangan

by Nurulhuda

KEMAMAN, 25 Mei – Bekas ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan meletak jawatan sebagai ketua Umno cawangan Gong Chengal semalam.

Kini jawatan tersebut dipangku timbalannya, Datuk Mustaffa Ab Rahman.

Shabery yang juga bekas menteri pertanian industri dan asas tani itu berkata peletakan jawatan itu adalah bagi memberi peluang golongan muda menerajui Umno cawangan itu seterusnya membuka ruang kepada mereka menjadi pelapis untuk mengambil alih kepimpinan parti.

“Saya sendiri sebagai ketua cawangan berundur diri dan kita sudah membina barisan pelapis untuk mengambil alih.

“Buat sementara waktu timbalan yang akan memimpin tetapi naib timbalan kita beri pada orang muda… Kita nak lihat lebih ramai wajah-wajah muda di peringkat kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Agung Umno Cawangan dan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda Gong Chengal kali ke-28 tahun 2018 semalam.

Menurut Shabery, beliau mengundurkan diri pada peringkat cawangan dahulu manakala di peringkat bahagian pula akan diatur kemudian.

“Sekarang ini cawangan dahulu… peringkat bahagian saya akan atur selepas ini dan sebenarnya jawatan saya sebagai timbalan bahagian juga akan diambil alih orang lain,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan pilihan raya umum ke-14 yang lalu, Shabery berkata Umno perlu melihat secara serius masalah pengundi-pengundi muda di saluran 3 dan 4 bukan sahaja di peringkat atasan tetapi juga di peringkat bawahan.

“Majoriti ketua-ketua yang menjaga pusat daerah mengundi cawangan dan sebagainya kami perhatikan adalah orang yang sama sejak 20 hingga 30 tahun lalu.Bukan mereka ini tidak ada peranannya dan bukan tidak ada jasa sebagainya tetapi untuk memahami dan diterima golongan muda yang mana dari segi bahasa lenggoknya sudah berbeza.

“Sebab itu kita katakan, perlu ada perubahan secara serius di semua peringkat bagi memastikan kepimpinan di peringkat akar umbi perlu diambil dikalangan orang muda,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply