Home SejarahTLDM Rondaan bersama maritim Malaysia, Filipina diteruskan

Rondaan bersama maritim Malaysia, Filipina diteruskan

by Nurulhuda

SANDAKAN, 25 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Filipina mengadakan pertemuan di sempadan perairan negara dekat sini, semalam untuk Inisiatif Bertukar Maklumat.

Pertemuan itu membabitkan kru kapal TLDM KD Sri Tiga dan kapal Tentera Laut Filipina BRP Cebu dilaksanakan di bawah Program Rondaan Maritim Trilateral antara tiga negara di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 dalam satu kenyataan hari ini berkata pertemuan itu merupakan kali ketiga dilaksanakan antara kapal TLDM dan kapal BRP Cebu.

Menurut kenyataan itu, pertemuan kru kedua-dua kapal diketuai Pegawai Memerintah KD Sri Tiga Lt Komander Kamarulzaman Kamaruddin dan Pegawai Memerintah BRP Cebu Lt Komander Arnold Valida.

Pertemuan bermula di KD Sri Tiga untuk sesi lawatan serta berkongsi maklumat operasi, perbincangan isu semasa dan latihan yang bakal dilaksanakan sebelum kru KD Sri Tiga kemudian melawat kapal BRP Cebu.

Setelah selesai sesi lawatan dan bertukar maklumat, latihan bersama dilaksanakan iaitu Publication Exercise (PuUBEX), Manuvra Taktis (MANTAK), Replenishment at Sea Approach (RASAP) dan Kibaran Bendera (SEMAPHORE).

Pihak MAWILLA 2 dalam kenyataan itu menyatakan tidak berkompromi dalam aspek keselamatan dan akan terus meningkatkan kesiagaan serta pengawasan di perairan pantai timur Sabah, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Related Articles

Leave a Reply