Home SemasaGlobal Hubungan Vietnam-China semakin tegang

Hubungan Vietnam-China semakin tegang

by Noor Sheila Amin

HANOI, 22 Mei – Aktiviti terbaharu pesawat pengebom strategik China di kepulauan Paracel Laut China Selatan secara serius melanggar kedaulatan Vietnam terhadap wilayah bertelingkah itu, kata Kementerian Luarnya semalam.

Jurucakap kementerian, Le Thi Thu Hang dalam satu kenyataan berkata, penerbangan itu ‘meningkatkan ketegangan, mencetuskan ketidakstabilan serantau dan tidak bagus untuk mengekalkan satu persekitaran aman, stabil dan kerjasama di Laut Timur.’

Filipina juga menyuarakan ‘kebimbangan serius’ semalam berhubung kehadiran pesawat pengebom di kawasan itu dan Kementerian Luarnya sudah mengambil tindakan diplomatik wajar.

Vietnam dan China sekian lama terbabit dalam pertelingkahan maritim di Laut China Selatan. Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan juga mempunyai tuntutan terhadap wilayah maritim kaya sumber di Laut China Selatan.

“Vietnam menuntut China menghentikan aktiviti terbabit, menamatkan kehadiran tentera di kawasan itu dan secara tegas menghormati kedaulatan Pulau Hoang Sa,” katanya merujuk Paracel.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kan menggesa negara lain tidak terlebih tafsir terhadap apa yang digelar rondaan rutin tenteranya.

Tentera udara China berkata, pengebom seperti H-6K mendarat dan berlepas dari pulau dan terumbu di Laut China Selatan sebagai sebahagian latihan minggu lalu.

Related Articles

Leave a Reply