Home Pertahanan dan Keselamatan COMPETENT gesa Menhan siasat skandal dalam Kementerian Pertahanan

COMPETENT gesa Menhan siasat skandal dalam Kementerian Pertahanan

by Noor Sheila Amin

SHAH ALAM, 21 Mei – Centre for Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent) menggesa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyiasat lima skandal dalam kementerian itu ketika era pemerintahan BN.

Ketua Eksekutif Competent, Wan Anwar Wan Ibrahim mahu Mohamad menyiasat pembaziran dan salah guna kuasa melibatkan pebelian aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pelantikan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan adalah keputusan tepat kerana beliau lantang mempersoalkan salah laku dan pembaziran ketika pemerintahan kerajaan BN sebelum ini.

“Kami mahu menteri pertahanan membuka kembali fail siasatan kes pembelian beberapa unit Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang pernah mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas menegur harganya yang terlalu mahal.

“Harga yang dilaporkan adalah RM690,000 seunit, sedangkan baginda sultan pernah membelinya pada harga RM150,000 sahaja. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri pertahanan ketika itu berjanji akan membuka kertas siasatan namun sehingga kini kes itu senyap,” katanya dalam satu artikel, hari ini.

Beliau menambah, pembelian 257 unit Armored Personnel Vehicle daripada syarikat Turki berharga RM7.5 bilion juga perlu diberikan perhatian.

“Harga tersebut dikatakan naik mendadak daripada harga asal RM1.76 bilion seperti dilaporkan akhbar Turki sewaktu perjanjian ditandatangani pada 2011.

“Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ketika itu, Tony Pua pernah mempersoalkan perkara ini di Parlimen namun tidak dijawab oleh menteri pertahanan,” katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa Kementerian Pertahanan mengkaji semula polisi komisen melampau kepada syarikat broker yang berurusan dalam pembelian aset ATM.

“Perkara ini menjadi buah mulut rakyat apabila Perimekar Sdn Bhd milik Razak Baginda yang juga sahabat kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendapat habuan RM535 juta mengikut kadar hari ini dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.

“Skandal ini menjadi lebih hangat lagi apabila Razak Baginda dikaitkan dengan kematian model Mongolia Altantuya Shaaribuu yang masih menjadi misteri sehingga kini,” katanya.

Wan Anwar turut mendesak pembekal atau kontraktor kepada Kementerian Pertahanan yang pernah terlibat dengan projek sakit disenarai hitam dan disaman kerana kerugian yang ditanggung.

“Contohnya, projek pembinaan 27 unit Patrol Vessels berharga hampir RM1 bilion seunit yang gagal disempurnakan mengikut jadual oleh syarikat PSC-Naval Dockyard.

“Syarikat ini dimiliki Tan Sri Amin Shah yang diketahui sebagai kroni besar Umno-BN. Syarikat hak milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings, akhirnya terpaksa mengambil alih PSC-Naval Dockyard untuk memastikan kelancaran projek tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, negara juga mengalami kerugian besar apabila projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) bernilai RM100 juta diberikan kepada syarikat yang langsung tiada pengalaman dalam bidang pembinaan.

“Skandal ini hangat diperkatakan apabila didedahkan oleh Deepak Jaikishan (rakan karib Datin Seri Rosmah Mansor) yang marah kerana Raja Ropiaah dikatakan gagal menunaikan perjanjian kepada Deepak sebagai timbal balik untuk Deepak membantu dalam projek pembinaan Puspahanas tersebut.

“Sekali lagi, anak syarikat LTAT terpaksa mengambil alih projek sakit milik kroni Umno-BN untuk memastikan kelancaran projek,” katanya.

Justeru, beliau berharap, satu tadbir urus yang cekap dan berhemah berdasarkan kepada kaedah-kaedah terbaik dapat dijadikan amalan di Kementerian Pertahanan dan aset-aset yang terbaik turut dapat disediakan dan diselenggara untuk kegunaan perwira-perwira negara dalam angkatan tentera.

Related Articles

Leave a Reply