Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Mahu kerajaan teruskan projek ECRL- Tuan Ibrahim

Mahu kerajaan teruskan projek ECRL- Tuan Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mei – PAS berharap kerajaan di bawah teraju Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membatalkan projek rangkaian jalan keretapi pantai timur (ECRL) yang telah diluluskan kerajaan BN sebelum ini.

Sebaliknya, kata timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, projek itu perlu dirunding semula kos dan perjanjiannya agar ia menepati piawaian kewangan.

“Projek-projek sedia ada yang sedang berjalan dan yang telah diluluskan melalui Rancangan Malaysia ke 11, haruslah diteruskan sehingga selesai, untuk faedah rakyat.

“Ini termasuklah projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, lebuh raya jajaran tengah (Central Spine Road) dan yang lebih utama projek rangkaian jalan keretapi pantai timur (ECRL) yang tidak harus dibatalkan tapi dirunding semula kos dan perjanjiannya agar ia menepati piawaian kewangan yang sihat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian dalam menyampaikan penghargaan kepada Dr Mahathir kerana bersedia menyalurkan royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Kelantan selaras janji Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam manifestonya.

“Dengan kesediaan Dr Mahathir ini, PAS berharap amalan politik balas dendam sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan BN lalu tidak lagi diikuti.

“Sebagai parti yang beramal dengan sistem demokrasi dan menghormati konsep federalisme, PAS berlapang dada walaupun pernah perit dihukum dengan penarikan bayaran royalti dahulu.

“Kesediaan terbaharu daripada Dr Mahathir itu memungkinkan bermulanya era baharu dalam budaya politik secara matang meneruskan momentum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi contoh di peringkat antarabangsa susulan peralihan kuasa yang damai selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14,” katanya.

Kerajaan sebelum ini di bawah teraju bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2016 me­ngumumkan projek ECRL yang meliputi pembinaan landasan kereta api sepanjang 688 kilometer dari Kuala Lumpur ke Tumpat.

Projek yang melibatkan kerjasama syarikat China Communications Constructions Company (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd itu dikritik beberapa pihak sebagai menelan kos terlalu tinggi.

Bekas menteri kewangan yang kini menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan Tan Sri Daim Zainuddin berkata kos RM55 bilion yang diumumkan Najib hanya merangkumi kos fasa pertama.

Menurut Daim yang memetik maklumat daripada pihak yang terlibat dengan ECRL, bagi fasa kedua, tambahan RM11 bilion akan diperlukan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply