Home PolitikPakatan Harapan Bina Malaysia baru, buang sikap negatif – Mahfuz

Bina Malaysia baru, buang sikap negatif – Mahfuz

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat Malaysia di seluruh negara kerana telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan memilih pemimpin serta kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kata beliau, pemilihan yang dibuat oleh rakyat Malaysia menandakan keberanian rakyat Malaysia khususnya pengundi dalam penyuburan proses demokrasi. Ia juga menandakan kematangan serta keprihatinan rakyat terhadap politik dan isu-isu dalam negara ini.

“Saya mengkagumi keberanian rakyat Malaysia melakukan perubahan besar dalam PRU14 dengan menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa selama 60 tahun.

“Walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan ke atas Pakatan Harapan (PH), dengan fitnah yang bertali arus sepanjang kempen pilihan raya, ugutan demi ugutan terhadap rakyat, dan dengan momokan buruk yang dibangkitkan seperti jika PH memerintah, negara akan dikuasai oleh DAP, kuasa Melayu akan terhapus, umat Islam akan terancam, negara akan mundur dan lain-lain lagi.

“Tetapi pengundi tetap bijak dan cerdik dalam menentukan maklumat itu benar ataupun sekadar sentimen semata-mata. Pengundi telah membuat keputusan yang tepat dengan menjatuhkan Umno-BN,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Ujar Mahfuz, bagi pengundi di Parlimen Pokok Sena pula, beliau menghargai kesetiaan dan keteguhan jiwa mereka mengundi beliau termasuk dalam kalangan ahli Pas khususnya dan ahli Umno.

Mereka ini memilih calon berdasarkan prestasi dengan kerja buat selama ini dan bukan memilih semata-mata kerana parti, katanya.

Tambah Mahfuz, beliau percaya ahli-ahli Pas dan Umno yang mengundi saya itu hati dan jiwa mereka bersama PH walaupun tubuh mereka masih bersama dengan Pas dan Umno.

“Dengan keputusan ini, saya bertekad bersama pemimpin PH untuk membina sebuah Malaysia baharu dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara melangkaui segala-galanya.

“Kesilapan pemimpin BN terdahulu perlu menjadi pengajaran dalam memimpin negara tercinta ini. Kami bersedia mendengar rungutan dan pandangan semua pihak demi kepentingan kita bersama.

“Saya mengajak seluruh masyarakat agar bergerak ke depan bersama-sama dengan mengetepikan perbezaan dan perselisihan selama ini.

“Tidak ada gunya kita saling bercakaran, menanam kebencian dan emosi, melabel dan memburukkkan golongan yang tidak sependapat dengan kita,” kata Naib Presiden AMANAH itu.

Beliau menyeru rakyat menjauhi politik yang membawa kepada putus hubungan silaturrahim dan dan keluarga.

Negara katanya, tidak akan maju dengan sikap negatif seperti ini. Ini masanya kita memfokus dengan kerja-kerja untuk berkhidmat kepada rakyat dan menolak berpolitik sesama sendiri.

Related Articles

Leave a Reply