Home Semasa Apandi diarah bercuti – Tun Mahathir

Apandi diarah bercuti – Tun Mahathir

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 14 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan selesai susulan pelbagai aduan yang diterima mengenai kredibilitinya ketika menjalankan tugas.

“Ada banyak aduan tentang peguam negara, atas dasar itu kita berikan dia cuti. Perlu buat laporan polis sebelum siasatan boleh dilakukan, setakat ini belum ada laporan bertulis lagi.

“Walaupun ada tuduhan, tetapi belum ada laporan. Jika ada laporan, barulah siasatan boleh dijalankan, tindakan boleh diambil untuk menyekat tugas peguam negara,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Perdana menteri berkata, tugas Apandi diambil alih Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek yang mempunyai kuasa untuk terbabit dalam Jawatankuasa Pengampunan.

“Memandangkan ada juga masalah dengan peguam negara, peguam negara akan bercuti dan tempatnya akan diambil peguam cara negara, beliau juga mampu menggantikan tugas Apandi.

“Kedudukan peguam negara ini sukar sedikit kerana dia baru sahaja diberikan kontrak baru.

“Kita perlu ikut undang-undang, soal penggantungannya perlu beberapa tindakan dan disebabkan itu Apandi hanya diberikan cuti.”

Apandi di bawah tekanan untuk meletak jawatan selepas Dr Mahathir mendakwanya menyembunyikan bukti berkaitan dakwaan salah laku 1MDB.

Kontrak 3 tahunnya yang bakal tamat pada 27 Julai ini, bagaimanapun dilanjutkan 3 tahun lagi oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihan raya Rabu lalu.

Related Articles

Leave a Reply