Home PolitikPakatan Harapan Shafie Apdal Ketua Menteri Sabah yang baru

Shafie Apdal Ketua Menteri Sabah yang baru

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 12 Mei – Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri, di sini, sebentar tadi.

Mohd Shafie, 61, mengangkat sumpah jawatan itu pada jam 9.15 malam di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Upacara angkat sumpah turut dihadiri isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN serta PKR dan DAP, selain dipercayai enam ADUN Barisan Nasional (BN) yang menyertai parti itu.

Turut hadir upacara itu ialah pegawai tinggi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Mohd Shafie mengangkat sumpah selepas parti pimpinannya bersama PKR dan DAP memiliki 35 daripada 60 kerusi DUN, sekali gus boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun, pergolakan politik di Sabah dipercayai berterusan berikutan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, Khamis lalu, menafikan beliau meletak jawatan, petang tadi.

Malah, tengah hari tadi Musa mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri yang pertama di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini.

 

Related Articles

Leave a Reply