Home Politik BN Sarawak Bakal Sertai Pakatan Harapan?

BN Sarawak Bakal Sertai Pakatan Harapan?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan telah mengadakan satu pertemuan tertutup bersama  Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Kuala Lumpur. Pertemuan tersebut turut melibatkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Sumber dalaman Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang dipetik oleh Malaysiakini turut melaporkan, Tun Taib akan memanggil Ketua Menteri Sarawak,  Abang Johari sama ada hari ini atau esok untuk bertemu.

Pemimpin PBB itu tidak menolak kemungkinan membentuk gabungan di peringkat negeri, yang dirancang sebelum pilihan raya umum ke-14 untuk keluar BN jika Putrajaya ditawan Pakatan Harapan.

“Kerajaan negeri yang bebas dari BN akan membawa idea agenda Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Katanya, Abang Johari akan memanggil mesyuarat tergempar pada Rabu depan dengan wakil rakyat BN pada peringkat Parlimen dan Dun untuk membincangkan nasib mereka dalam BN.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu, BN Sarawak telah menang pada 19 kerusi. Parti PBB, PRS, SUPP dan PDP adalah parti komponen yang membentuk gabungan BN di Bumi Kenyalang.

Related Articles

Leave a Reply