Home SemasaGlobal Donald Trump ucap tahniah kepada Putin

Donald Trump ucap tahniah kepada Putin

by Noor Sheila Amin

WASHINGTON, 8 Mei – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam, menyatakan ucapan tahniah kepada Presiden Russia, Vladmir Putin yang mengangkat sumpah jawatan bagi penggal keempat.

Pada masa sama, Rumah Putih turut menyuarakan hak kebebasan untuk mengadakan perhimpunan, susulan penahanan beberapa penunjuk perasaan.

“Presiden menyampaikan ucapan tahniah kepadanya (Putin) dan berharap kedua-dua negara dapat menjalin hubungan lebih baik pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, Amerika Syarikat percaya orang ramai mempunyai hak untuk didengar dan mengadakan perhimpunan aman,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders kepada wartawan.

Pada Sabtu lalu, hampir 1,600 penunjuk perasaan, termasuk pencabar terdekat Presiden Putin, Alexei Navalny ditahan ketika mengadakan bantahan di seluruh negara.

Sementara itu, Trump dalam mesej di Twitter berkata, beliau akan mengumumkan mengenai keputusan perjanjian nuklear dengan Iran hari ini.

“Saya akan mengumumkan keputusan saya mengenai Perjanjian Iran, esok, di Rumah Putih pada jam 2 petang (waktu tempatan),” katanya.

Dalam pada itu, Rumah Putih mengumumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat itu tidak akan menghadiri majlis pembukaan kedutaan baharu negara itu di Israel, minggu depan.

Sebaliknya, delegasi Amerika Syarikat ke majlis itu akan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Negara, John Sullivan.

Menurut Rumah Putih, delegasi berkenaan akan turut disertai oleh anak perempuan Trump, Ivanka dan suaminya, pembantu kanan Rumah Putih, Jared Kushner, selain Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin. – AFP

Related Articles

Leave a Reply