Home Semasa NCSA kesan peningkatan serangan siber di Malaysia

NCSA kesan peningkatan serangan siber di Malaysia

by Noor Sheila Amin

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) mengesan peningkatan ketara cubaan serangan siber yang menyasar pelbagai pertubuhan di Malaysia, sejak kebelakangan ini.

Serangan itu dilakukan dalam pelbagai cara, termasuk pencerobohan, cubaan pencerobohan, serangan penafian perkhidmatan teredar (DDos), merosakkan laman sesawang dan jangkitan virus Malware.

NCSA dalam kenyataannya, berkata serangan siber terbabit boleh menyebabkan kebocoran dan kehilangan maklumat, gangguan perkhidmatan dan integriti maklumat dikompromikan.

Katanya, serangan itu menjangkiti semua jenis sistem operasi, pelayan (server) perkhidmatan dalam talian dan laman sesawang.

“Berdasarkan pemantauan sejak beberapa hari lalu, kami mengesan peningkatan ketara serangan siber terhadap organisasi di sektor swasta dan kerajaan di Malaysia.

“Serangan itu dalam bentuk merosakkan laman web, e-mel ‘phishing’ dan DDoS. Sehubungan itu orang ramai dan pertubuhan berkaitan diminta mengambil langkah perlu bagi mengelak menjadi mangsa serangan siber ini,” katanya.

NCSA berkata, orang ramai dan pertubuhan berkenaan diminta mengemas kini semua aset penting dengan sistem keselamatan terkini; tidak membuka atau klik e-mel daripada sumber tidak diketahui dan pautan sama ada disertakan dengan lampiran atau tidak.

Mereka juga dinasihat memastikan perisian antivirus atau pengesan malware adalah terkini dan berfungsi; menyekat akses terhadap setiap sambungan seperti port 3389 ‘Remote Deskstop Protocol’ (RDP), port 5900 Pengkomputeran Rangkaian Maya (VNC) dan port 22 (SSH) serta perkhidmatan kecuali yang sedia terbuka.

Selain itu, bagi mengelak serangan siber, organisasi dan orang ramai perlu menyemak senarai pengguna baru yang tidak dikenali dan memantau dengan teliti bagi mengesan sebarang perkara pelik selain menukar semua nama dan kata laluan jika disyaki maklumat itu terdedah.

Related Articles

Leave a Reply