Beliau berkata, istilah itu digunakan oleh pihak tertentu untuk memberi gambaran negatif terhadap SPR.

Hakikatnya, terdapat segelintir pemilih berdaftar yang telah berpindah dan tidak lagi bermastautin di kawasan yang mana mereka telah mendaftar sebagai pemilih atau terdapat pemilih yang bertukar alamat bahagian pilihan raya.

“Ada juga pemilih-pemilih berdaftar ini hanya pulang ke kawasan berkenaan dalam tempoh empat atau lima tahun, berkemungkinan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi mengenali pemilih tersebut dan seterusnya membuat tanggapan serta dakwaan bahawa pemilih tersebut ialah pengundi hantu.

“Sedangkan, pada hakikatnya, mereka ini adalah pemilih berdaftar yang sah dari segi undang-undang,” Mohd. Hashim berkata demikian mengulas tohmahan sesetengah pihak berhubung pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).