Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS tak pernah kafirkan UMNO-Hadi

PAS tak pernah kafirkan UMNO-Hadi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan bahawa parti itu pernah mengkafirkan umat Islam lain tetapi sebaliknya mendakwa ini dilakukan oleh ahli partinya yang melompat menyertai Umno.

Katanya, PAS tidak berhak berbuat demikian kerana itu bukan ajaran Islam yang sebenarnya.

“Kita ajak dan beritahu orang Islam, kita mesti percaya pada Islam. Dia kata kita mengkafirkan orang, bukan kerja kita mengkafirkan orang.

“PAS tidak mengkafirkan si anu dengan si anu, sia anu dengan si anu. (PAS tak kata) Umno kafir orang tu kafir, PAS tak kata begitu.

“Memang ada orang dalam PAS yang cakap begini, orang PAS yang cakap begini masuk Umno belaka tak ada dalam PAS. Yang cakap keras-keras tu pergi ke Umno. Kerana dalam PAS kita ajar batas-batas iman dan kufur,” kata Abdul Hadi dalam ceramahnya di Markas PAS Kuah Langkawi, malam semalam.

Abdul Hadi turut berkata urusan mengesahkan seseorang itu menjadi kafir adalah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah setelah mendengar hujah individu tersebut.

Pada ceramah itu presiden PAS itu juga menjadikan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sasarannya.

“Zaman Tun Mahathir (menjadi perdana menteri), saya diletak nombor satu nak kena ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri ) tapi tak jumpa dalam ucapan saya diletak anu bin si anu kafir.

“Dalam buku tulisan saya tak ada sebut si anu dengan si anu kafir, tak ada.

“Kita tunjuk batas iman dan kufur tak boleh cakap begini. Kalau kita jahil jangan bercakap, Ni tak tahu pun nak bercakap juga,” katanya.

Kontroversi tercetus pada 1981 apabila ‘Amanat Haji Hadi’ merujuk ucapan pemimpin PAS yang tersebar di kalangan orang Melayu di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Related Articles

Leave a Reply