Home PolitikPakatan Harapan Manifesto BN hanya retorik, Ketua Cawangan Umno kecewa sertai PKR

Manifesto BN hanya retorik, Ketua Cawangan Umno kecewa sertai PKR

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 2 Mei – Ketua Cawangan Umno Sri Sarawak, Andalas, Zakaria Samsudin mengumumkan keluar parti dan menyertai PKR hari ini selepas melihat Umno/BN gagal membela nasib rakyat kesan daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Zakaria mengakui dia nekad mengambil keputusan itu kerana terkilan dan kecewa dengan kepimpinan BN yang semakin lari daripada asas perjuangan untuk membela dan menjaga kebajikan rakyat.

“Saya sebagai peniaga kecil-kecilan di Klang juga terasa beban ekonomi sehingga menyebabkan harga barangan meningkat.

“Kepimpinan BN yang ada sekarang jauh bezanya jika dibandingkan dengan kepimpinan yang terdahulu yang mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya pada satu sidang media di bilik Gerakan Utama Harapan Dun sungai Kandis, di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, beliau mengakui penyertaannya ke dalam PKR Dun Sungai Kandis itu turut memberi tamparan hebat kepada Umno cawangan berkenaan.

“Saya tekad tinggalkan Umno untuk reformasi dan merasai denyut nadi rakyat bagi perubahan ekonomi daripada kepimpinan kerajaan BN kepada Harapan.

“Saya juga melihat manifesto BN hanya retorik di atas kertas, sebaliknya pentadbiran kerajaan Harapan di Selangor sebenarnya lebih telus dan bijak untuk masa depan rakyat,” katanya.

Sementara itu, calon Dun Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei berkata, meskipun keputusan Zakaria sebagai ketua hanya di peringkat cawangan, namun Umno/BN akan terkesan dengan tindakannya itu.

“Saya selaku wakil PKR mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu turut serta dan berjuang bersama-sama PKR,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply