Home PolitikPakatan Harapan Sedia berdepan Tun M, tidak timbul isu serba salah – Nawawi

Sedia berdepan Tun M, tidak timbul isu serba salah – Nawawi

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 27 Apr – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad hari ini berkata beliau mengambil sepenuh tanggungjawab tanpa gentar malah kekal positif dan bersedia memikul amanah untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau berkata tidak timbul soal serba salah dalam berhadapan dengan bekas perdana menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana yakin rakyat Langkawi akan membuat pilihan bijak dengan memilih anak watan yang benar-benar bekerja untuk menyelesaikan masalah mereka serta berusaha membawa pembaharuan, kemakmuran dan kemajuan kawasan itu.

“Saya betul-betul bersedia tidak kira lawan itu ‘besar’ atau kecil atas dasar berkhidmat dan menjalankan tugas untuk parti dan yang paling utama masyarakat di kawasan saya. Saya percaya tidak ada parti yang betul-betul boleh bangunkan Langkawi melainkan BN!

Malah saya langsung tidak pernah secara peribadi ada menemui Dr Mahathir dan meminta beliau agar tidak bertanding di Langkawi, laporan berita itu tidak betul!,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas selesai mengisi borang pencalonan bagi hari penamaan calon esok.

Nawawi berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau serba salah dengan Dr Mahathir yang bakal bertanding mencabarnya di Parlimen itu.

Beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen itu bersama-sama Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Nor Saidi Nanyan yang juga akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan Kuah.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!