KUALA LUMPUR, 27 Apr – Hanya berbaki dua hari untuk berkempen jika pihak polis mengenakan notis selama 10 hari untuk ceramah oleh calon yang tidak bertanding di sesuatu kawasan itu, kata Pengerusi Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Hanya tinggal 13 hari bermula hari ini hingga hari pengundian.
“Jika kita perlu menghantar notis 10 hari, ini bermakna kita hanya tinggal dua hari lagi untuk berkempen,” kata Mahathir dalam video yang disiarkan di halaman Facebook rasminya hari ini.
Mahathir mengulas kenyataan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan bahawa calon atau ejen mereka boleh memohon kepada ibu pejabat polis daerah untuk mendapatkan izin untuk mengadakan ceramah dan permohonan mereka akan diproses dengan segera.
Hasnan berkata permit yang dikeluarkan adalah mengikut Seksyen 24B (4) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah diperlukan untuk mengelakkan pertembungan antara parti politik yang bertanding.
Hasnan juga berkata bahawa calon yang ingin berkempen di kawasan pilihan raya lain sepatutnya menyerahkan notis 10 hari seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata tindakan itu sebagai satu lagi taktik oleh Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak untuk menjejaskan kempen HARAPAN.
“Ini satu lagi sekatan yang diharapkan Najib akan membawa kemenangan kepada mereka (BN),” kata Mahathir yang akan bertanding di Langkawi dan menerajui sesi ceramah HARAPAN di seluruh negara sebelum hari penamaan calon esok.