Home SemasaGlobal PBB lawat Myanmar Isnin depan

PBB lawat Myanmar Isnin depan

by Noor Sheila Amin

MAUNGDAW, 26 April – Delegasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu melihat sendiri impak ke atas krisis pelarian Rohingya akan tiba di Myanmar, Isnin depan, menurut pegawai kanan kerajaan.

Ia bakal menjadi kunjungan profil tertinggi pertubuhan berkenaan ke Rakhine sejak permulaan, Ogos tahun lalu selepas pihak tentera bertindak ganas ke atas etnik minoriti Muslim itu yang disifatkan sebagai ‘pembersihan etnik’.

“Mereka akan datang ke Naypyidaw pada 30 April ini dan kemudian berlepas ke Rakhine pada hari berikut,” kata pegawai kanan Myanmar tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.

Februari lalu, delegasi berkenaan membabitkan 15 duta membuat cadangan kepada kerajaan Yangon untuk melihat dan memantau keadaan etnik Rohingya yang dikatakan tertindas di negara sendiri.

Myanmar bagaimana bertindak menghalang kunjungan itu dengan alasan ‘masanya belum sesuai’ tetapi mengubah pendirian awal bulan ini apabila memberi lampu hijau kepada delegasi berkenaan melangkah masuk ke zon krisis yang menjadi tarikan komuniti antarabangsa sejak setahun lalu.

Myanmar dan Bangladesh menandatangani perjanjian memulakan proses penghantaran semula pada Januari lalu namun sehingga kini cuma satu keluarga dilaporkan sudah pulang ke kampung halaman mereka.

Sehingga kini, beberapa ribu etnik Rohingya kekal di zon sempadan dan enggan menyertai rakan dan saudara mereka yang lain di kem pelarian yang padat di Bangladesh.

Mereka hanya akan kembali jika pihak berkuasa memberi jaminan mengenai keselamatan mereka selepas pulang nanti. – AFP

Related Articles

Leave a Reply