Perdana Menteri berkata, beliau pada awalnya sukar untuk mempercayai tindak-tanduk Pengerusi gabungan pembangkang PKR itu namun apabila Dr. Mahathir ke mahkamah baru-baru ini berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sesuatu yang cukup menjengkelkan.

“Sebelum ini Dr. Mahathir menganggap Anwar manusia paling terkutuk sehinggakan saya sendiri tidak sanggup untuk menyebutnya. Beliau kutuk Anwar seteruk-teruknya termasuk sebagai individu tidak bermoral.

“Orang seperti beliau (Dr. Mahathir) jelas tiada pendirian kerana dalam politik kita perlu ada nilai diri dan maruah meskipun kita tidak dipilih (sebagai calon), kita masih bersama,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Dataran Jerantut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM36.42 juta untuk menaik taraf empat buah klinik kesihatan di sekitar daerah ini termasuk Hospital Jerantut.