KUALA LUMPUR, 24 April – Penyedia penyelesaian pertahanan British, BAE Systems Plc bersedia memberi bantuan kewangan kepada kerajaan Malaysia untuk memperoleh peralatan pertahanan, jika diperlukan.
Pengarah Urusan BAE Systems (International) Ltd bagi Asia Tenggara, John Brosnan berkata walaupun bantuan mungkin tidak diperlukan berdasarkan latar belakang ekonomi negara yang kukuh, syarikat bekerjasama rapat dengan Credit Export Agency dan UK Export Finance United Kongdom (UK) bagi memastikan struktur pembiayaan yang kompetitif.
Beliau berkata syarikat itu yakin ia dapat memperoleh kontrak kerajaan tidak lama lagi memandangkan BAE Systems yang sudah berada di Malaysia sejak 50 tahun lepas, memiliki rekod baik pemerolehan kontrak dengan angkatan tentara Malaysia.
“Kami sangat yakin kerana telah bekerja keras bagi memastikan peralatan yang kami bekalkan dalam keadaan terbaik.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan rakan industri tempatan bagi memastikan penyelenggaraan peralatan dilakukan dalam negara,” katanya. BERNAMA