Home Politik Guan Eng umum calon kabinet tunjukkan DAP ‘Abang Besar’ – Hishammuddin

Guan Eng umum calon kabinet tunjukkan DAP ‘Abang Besar’ – Hishammuddin

by Air Times News Network

KLUANG, 22 Apr – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan dua calon parti itu sebagai calon menteri Kabinet sekiranya pakatan pembangkang menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menunjukkan DAP ‘abang besar’ dalam pakatan itu.

Beliau berkata pengumuman berkenaan turut menunjukkan Lim sebagai angkuh dan takbur dan membelakangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan mereka sudah memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya berkuasa.

“Kerana kita tahu jawatan-jawatan di dalam Kabinet adalah hak mutlak perdana menteri… bukan ditentukan Lim Guan Eng.

“Jadi, saya hendak tanya Lim, kenapa angkuh, takbur sangat sehingga kalau betul dia hendakkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, kenapa dia buat pulak pengumuman siapa hendak diletakkan dalam jemaah menteri,” katanya.

Hishammuddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Sembrong dan Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Rela Bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Pekan Kahang, di sini, hari ini.

Related Articles

Leave a Reply