Yangon, 20 April – Menteri Kebajikan Sosial Myanmar, Win Myat Aye menyatakan kebimbangan Myanmar mengenai keadaan di kem pelarian di Bangladesh yang disifatkan ‘amat teruk’, justeru mahu program penghantaran pulang etnik Rohingya dilaksanakan segera menjelang ketibaan musim monsun.
“Selepas melihatnya sendiri, kami mengakui bahawa pelarian di kem berada di dalam keadaan menyedihkan.
“Jadi, perkara utama yang perlu kami lakukan ialah memulakan proses penghantaran pulang dengan secepat mungkin kerana musim monsun hampir tiba dan kami sangat bimbang dengan keadaan mereka yang melarikan diri ke Bangladesh,” kata Menteri Kebajikan Sosial Myanmar, Win Myat Aye kepada wartawan di sini, selepas mengadakan lawatan dua hari ke kem pelarian berhampiran Cox’ Bazar.
Pada Sabtu lalu, Myanmar berkata, negara itu sudah melaksanakan program penghantaran pulang pertama membabitkan satu keluarga etnik Rohingya.
Bagaimanapun, kerajaan Bangladesh dan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) berkata, mereka tidak dimaklumkan mengenai penghantaran pulang itu.
Selepas berbulan mengadakan perbincangan, Myanmar dan Bangladesh bersetuju pada Januari lalu untuk menyelesaikan penghantaran pulang secara sukarela lebih 700,000 pelarian dalam tempoh dua tahun.