Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM pamer pelbagai perancangan dan inisiatif di DSA 2018

TLDM pamer pelbagai perancangan dan inisiatif di DSA 2018

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 Apr – Pameran Defence Services Asia 2018 (DSA 2018) merupakan pameran industri pertahanan yang terulung di rantau ini. Walaupun pameran ini lebih menjurus kepada elemen pertahanan darat, kehadiran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilihat sebagai komponen penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan turut diberi perhatian oleh Jawatankuasa Penganjur bagi memastikan penganjuran pameran ini memberi impak yang maksimum kepada semua pihak.

TLDM turut terlibat di dalam penganjuran DSA yang terdahulu namun pada sesi kali ini, Segmen Maritim melalui penyertaan pameran diperkenalkan bagi menarik lebih banyak penyertaan.

Penglibatan angkatan laut negara luar adalah terhad kepada penyertaan delegasi sebagai tetamu bagi menghadiri pameran tersebut. Seramai 5 orang (Panglima Tentera Laut) PTL dan 18 orang wakil PTL dari pelbagai negara telah mengesahkan kehadiran.

Konsep pameran TLDM bagi DSA 2018 adalah bertemakan Program Transformasi TLDM yang dikenali sebagai RMN Transformation Programme 15to5. Sepanjang pameran, TLDM turut berkongsi maklumat berkenaan pendekatan inovatif yang digunakan bagi menyokong program ini selaras dengan penekanan hala tuju Kementerian Pertahanan dari segi aspek Kesiagaan, Keselamatan dan Diplomasi Pertahanan.

Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, telah melancarkan aplikasi Sealert di Pavilion TLDM. Foto: Air Times

Ruang pameran RMN’s Pavillion mengadakan Demonstrasi Aplikasi Kesedaran, Keselamatan dan Komuniti (K3M) 2.0 (SEALERT). Aplikasi ini telah dilancarkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pameran DSA 2018.

Aplikasi K3M versi sebelum ini telah ditambah baik kepada K3M 2.0 (SEALERT) yang menawarkan lebih banyak aplikasi menjurus kepada peningkatan keselamatan terhadap komuniti maritim.

Secara tidak langsung, pameran ini juga dapat memberi pendedahan kepada delegasi luar yang berkunjung di samping memberikan idea kepada pengeluar industri berkaitan peranan dan sumbangan yang dapat dikongsikan bagi menjayakan DSA 2018.

Related Articles

Leave a Reply