Home Pertahanan dan Keselamatan Pameran DSA 2018 tetap mempunyai kualitinya tersendiri

Pameran DSA 2018 tetap mempunyai kualitinya tersendiri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Apr – Pameran DSA 2018 telah mencatat rekod penyertaan oleh syarikat pempamer dari 60 buah negara.

Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapannya bersempena dengan Majlis Pelancaran Pameran Defence Service Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

“Pameran tahun ini lebih besar berbanding sebelumnya, dengan mempunyai keluasan sebanyak 43 ribu meter persegi”,kata beliau.

Sebagai salah satu daripada lima pameran termuka pada peringkat global, DSA tetap memainkan peranan sebagai platform untuk memupuk dan membentuk kerjasama antara pihak; bukan pada peringkat perniagaan sahaja tetapi turut melibatkan antara negara.

Bukan sekadar pameran, DSA turut membuka peluang untuk para industri, wakil kerajaan dan ketua serta wakil pasukan keselamatan untuk bertukar-tukar pendapat dan pengetahuan.

“DSA 2018 akan meneruskan tradisi untuk memberi kesedaran kepada semua pihak akan ancaman terkini semasa. Ini termasuklah ancaman pengganas dan keselamatan siber,” kata Hishammuddin.

Tambah beliau, perkembangan semasa semenjak awal abad ke-21 cukup memberikan pengajaran bahawa ancaman hadir dalam pelbagai bentuk.

Beliau turut menyatakan, pengenalan pameran NATSEC Asia dalam DSA adalah simbolik kerjasama antara pasukan pertahanan dan pasukan polis serta agensi berkaitan untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kombinasi NATSEC Asia 2018 dan DSA 2018 telah menjadikan DSA sebagai satu pameran yang unik dan satu-satunya pameran pertahanan yang digabungkan dengan pameran keselamatan di rantau ini,” ujarnya lagi.

Pameran DSA 2018 dan NATSEC Asia 2018 berlangsung pada 16 sehingga 19 April 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur.

Related Articles

Leave a Reply