Home PolitikPakatan Harapan Nik Omar bakal bertanding tiket Amanah?

Nik Omar bakal bertanding tiket Amanah?

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 15 Apr – Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memaklumkan masih belum menerima keputusan sama ada Nik Omar Nik Abdul Aziz akan menyertai parti itu atau kekal bersama Pas.

Menurut beliau, sehingga jam 5 petang semalam, beliau belum mendapat kata putus daripada anak kedua Allahyarham Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

“Saya tidak dimaklumkan lagi keputusan, Nik Omar mungkin akan memaklumkan sendiri kepada Husam Musa (Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan).

“Amanah akan terima apa sahaja keputusan yang diberikan nanti. Kita tunggu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Wan Abdul Rahim memaklumkan Nik Omar akan memberikan kata putus kepada Amanah semalam, setelah mengadakan rundingan akhir dengan ahli keluarganya.

Dalam masa sama, Wan Abdul Rahim menyifatkan khabar angin penghijrahan Nik Omar itu bukan perkara baharu memandangkan sebelum ini Husam sudah membuat tawaran secara terbuka kepada beliau.

“Husam sendiri beritahu yang Amanah akan calonkan Nik Omar. Kalau dia bertanding atas tiket Pas kita tidak akan lawan.

“Sudah dua tahun perkara ini menjadi kontroversi. Tidak menjadi isu yang boleh dianggap gimik pilihan raya,” katanya.

Jika Nik Omar bersama Amanah, Wan Abdul Rahim berkata, Husam sudah tahu kerusi bersesuaian untuk meletakkan beliau sebagai calon bertanding pada PRU14 nanti.

Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada Nik Omar di kediamannya di Pulau Melaka semalam gagal apabila anaknya memaklumkan bapanya tidak sihat.

Related Articles

Leave a Reply