Home Pertahanan dan Keselamatan TUDM terus khidmat bakti, laksana penerbangan ihsan untuk kanak-kanak 3 tahun

TUDM terus khidmat bakti, laksana penerbangan ihsan untuk kanak-kanak 3 tahun

by M.Daim

KUCHING, 13 Apr – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi menabur bakti kepada masyarakat dengan melaksanakan satu lagi penerbangan ihsan semalam.

Sebuah pesawat CN235 dari No.1 Skuadron telah berjaya melakukan penerbangan ihsan dari Miri ke Kuching membawa seorang pesakit, Gibson Laja Anak Dian berumur 3 tahun 8 bulan, menghidap penyakit jangkitan paru-paru tahap kronik yang terpaksa dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak.

Gibson Laja Anak Dian berumur 3 tahun 8 bulan diterbangkan dari Miri ke Kuching dengan menggunakan pesawat CN235. Foto: TUDM

Penerbangan ihsan ini diketuai sendiri oleh Pegawai Memerintah No. 1 Skuadron, Leftenan Kolonel Syed Faisal bin Syed Abdul Kadir.

Penerbangan yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit terpaksa mengekalkan ketinggian altitud penerbangan pada aras 8,000 kaki atas faktor tekanan udara dan oksigen yang menampung alat bantuan pernafasan pesakit. Pesawat telah mendarat dengan selamat di Pangkalan Udara Kuching dan pesakit dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan lanjut.

‘Kami komited dalam memberi bantuan kepada masyarakat. Tiada Kompromi dalam menjalankan tugas sebagai seorang anggota tentera’, kata Pegawai Memerintah No 1 Skuadron, Leftenan Kolonel Syed Faisal.

Related Articles

Leave a Reply