Home PolitikBarisan Nasional Keluar parti: Umno Sepanggar tak tergugat – Rahman Dahlan

Keluar parti: Umno Sepanggar tak tergugat – Rahman Dahlan

by Nurulhuda

Sepangar, 12 Apr – Pengarah Strategik Komunikasi BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Umno bahagian Sepanggar masih kukuh dan tidak tergugat dengan tindakan 150 anggota keluar parti malam tadi.

Malah, beliau berkata Umno Sepanggar berada pada kedudukan terbaik bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sepanggar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai serta merampas DUN Inanam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Saya telah berbincang dengan Datuk Yakub Khan (Pemangku Ketua Umno bahagian Sepanggar) bahawa mereka yang telah meninggalkan Umno ini adalah mereka yang oportunis, yang mungkin melihat ada peluang untuk mereka mewakili dan menjadi calon dalam parti yang lain.

“Pemimpin seperti ini hanya mementingkan diri sendiri, bukannya mahu berjuang pun (untuk parti). Saya kira mereka tidak dialukan dalam parti Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pengundian berkomputer Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) bagi Kota Kinabalu dekat Kota Kinabalu hari ini.

Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, diminta mengulas tindakan anggota berkenaan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) sempena sebuah program parti itu di Kampung Likas dekat Kota Kinabalu malam tadi.

Beliau berkata Umno Sepanggar akan terus bekerja kuat kerana berpandangan rakyat akan menghargai dan memilih mana-mana parti yang telah menunjukkan perkhidmatan sepanjang musim dan bukan menunjukkan minat untuk berkhidmat kepada rakyat pada musim pilihan raya sahaja.

Mengenai penyandang kerusi Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris, Abdul Rahman percaya Jumat masih bersama Umno dan akan terus bersama Umno, bukan untuk sesiapa atau mana-mana pihak, tetapi kerana mahu membangunkan Sabah.

Abdul Rahman juga berkata jika beliau dicalonkan untuk kerusi Parlimen Sepanggar, Jumat tidak meminta untuk sesuatu sebagai balasan melepaskan kerusi itu kepada Abdul Rahman.

“Untuk bersikap adil kepada Datuk Jumat, saya tidak mahu adanya spekulasi mengatakan beliau menuntut itu ini, tidak.

“Saya rasa beliau adalah pemimpin berkaliber dan berintegriti. Datuk Jumat tidak akan turun ke tahap itu,” katanya.

Sementara itu, Yakub berkata antara bekas anggota Umno yang menyertai WARISAN malam tadi telahpun dipecat oleh Umno pada tahun lepas kerana didapati telah bergiat bersama parti pimpinan bekas naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu.

“Saya sebagai pemangku ketua Umno Sepanggar merasa lega bahawa ‘duri dalam daging ini sudah tercabut sendiri’.

“Tindakan mereka keluar Umno sedikit pun tidak menjejaskan Umno dan BN di Parlimen Sepanggar. Beberapa pemimpin besar negara yang meninggalkan Umno, meninggalkan BN sebelum ini pun tidak dapat menggoyah, menggugat kekuatan Umno dan BN,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply