Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tiada sebarang perbezaan tindakan yang dilakukan pasukan keselamatan itu sama ada sekarang atau semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Malah katanya, apa yang dibangkitkan oleh Mahathir itu adalah niat yang tersirat semasa beliau menjadi Perdana Menteri sekali gus merujuk kepada dirinya sendiri.

“Apa yang dilakukan oleh pasukan keselamatan adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa yang telah diguna pakai semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Tiada apa perbezaan tindakan yang dilakukan mereka pada masa sekarang dengan apa yang telah dilaksanakan pada masa lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Kayuhan #Sayang Malaysia, #Visit Mykampung di Kampung Labu Kubong di sini hari ini.

Mohamed Nazri mengulas mengenai kritikan Dr. Mahathir terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana masih menyokong Najib dan mengikut arahan sehingga melanggar undang-undang dan melakukan jenayah.

Selain pasukan keselamatan, Dr. Mahathir juga mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai bersubahat bagi memusnahkan demokrasi di negara ini.