Home Semasa Saya diperangkap, ada agenda politik- Rizalman

Saya diperangkap, ada agenda politik- Rizalman

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Apr – “Kalau betul ujian air kencing positif, saya yakin ia merupakan perangkap yang bertujuan merosakkan nama baik saya,” tegas Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berhubung dakwaan kes penyalahgunaan dadah di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Isnin.

Rizalman mendakwa, serbuan itu memang khusus disasarkan kepada beliau dan rakan-rakannya memandangkan pasukan polis hanya memeriksa biliknya tanpa membuat pemeriksaan di bilik-bilik lain di premis tersebut.

Dalam satu sidang media khas di ibu pejabat UMNO Bahagian Bandar Tun Razak hari ini, Rizalman, yang disebut-sebut sebagai bakal calon untuk kawasan parlimen itu, turut mempertikai keputusan saringan ujian air kencing yang dikatakan positif, sedangkan mereka tidak terlibat dengan sebarang penyalahgunaan dadah.

“Saya hanya mengambil kopi dan semua rakan-rakan saya mengambil minuman ringan. Tiada dadah, tiada minuman keras. Jadi, saya hairan kenapa laporan polis saya, saringan awal, positif.

“Saya syak kemungkinan dia lebih kepada agenda politik. Sama ada siapa lakukan saya tak pasti. Tapi cara operasi tersebut dilaksanakan., sangat khusus, masuk ke bilik saya dalam waktu singkat saya terus dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dang Wangi,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Rizalman menegaskan akan menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk membersihkan nama beliau.

Ditanya apa yang berlaku sebenarnya malam itu, Rizalman berkata, beliau hanya pergi berhibur dengan rakan-rakannya, dan tiada sebarang dadah atau minuman keras diambil dalam tempoh itu.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, bahawa kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu, Rizalman berkata beliau sedia maklum mengenainya.

“Saya hormat pandangan YAB Timbalan Presiden dan saya fikir itu pandangan yang sangat baik. Sudah tentu mereka akan rasa terluka atau kecewa dengan apa yang berlaku, dan ada ruang untuk membincangkan perkara ini. Saya sebagai ahli parti. Saya akan menerima dan bersedia terima apa saja kemungkinan (jika didapati bersalah),” katanya lagi.

Namun, Rizalman berkata, adalah tidak adil untuk pihak di luar sana menghukum seolah-olah beliau bersalah, sedangkan beliau masih belum didakwa berhubung kes itu.

Tambahnya lagi, beliau menerima sokongan penuh daripada ahli UMNO di Bandar Tun Razak, dan beliau yakin perkara ini tidak akan menjejaskan peluang UMNO untuk bertanding di kawasan itu.

Related Articles

Leave a Reply