Home PolitikPakatan Harapan Pertahan GST: UMNO ‘mabuk’ dibuai mimpi – Mahfuz

Pertahan GST: UMNO ‘mabuk’ dibuai mimpi – Mahfuz

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 Apr – Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar hari ini menyatakan bahawa Tan Sri Annuar Musa dan UMNO masih dalam sindrom penafian. Dalam kenyataan tersebut, beliau turut menyatakan  UMNO terus ‘mabuk’ dibuai mimpi seolah-olah rakyat masih memberi sokongan kepada parti pemerintah yang hanyut dalam pujian.

“Menuduh pembangkang sebagai penghasut rakyat terutama orang miskin agar membenci Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah bukti menidakkan fakta sebenarnya bahawa GST merupakan penyebab utama kesusahan yang ditanggung oleh rakyat berikutan kegagalan pemimpin UMNO-BN menjawab isu GST yang menyebabkan harga barang naik secara tidak terkawal seperti mana kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang menyalahkan orang tengah sebagai puncanya, ” kata Mahfuz dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, kenyataan dari pimpinan UMNO-BN membuktikan bahawa pemimpin UMNO-BN tidak duduk dan berdiri bersama rakyat marhaen di bawah. Mereka tidak mengerti keperitan dan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat ketika memperkenalkan GST, sebaliknya hanya nampak satu sudut sahaja bahawa GST menguntungkan pihak kerajaan dan negara.

“Kenyataan yang mengatakan GST boleh membantu rakyat dengan pulangan kepada rakyat melalui BRIM, harga barang tidak akan naik dan malah ada pemimpin UMNO bersungguh-sungguh mengatakan harga barang akan turun, tanpa GST negara akan muflis dan lain-lain adalah kenyataan jelek,” tegas Mahfuz.

Tahun 2018 merupakan tahun ke-3 perlaksanaan cukai GST semenjak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015. Menurut Mahfuz, hakikatnya harga barang semakin mencanak naik, rakyat semakin resah dan benci dengan UMNO.

“Pemberian BRIM juga tidak mampu untuk meredakan kebencian rakyat kerana rakyat hari ini sudah bijak menilai,”

“GST tetap dikenakan kepada sesiapa sahaja, samada orang kaya mahupun orang miskin, daripada orang di tengah bandar besar mahupun di ceruk pedalaman, peneroka Felda, nelayan,buruh kasar semuanya tidak terlepas dari GST.  Tidak perlu penerangan mengenai GST, kerana ia adalah cukai yang mencakupi serta menjerat leher semua rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau turut menegaskan, tindakan menuduh pembangkang menghasut rakyat dalam isu GST adalah satu langkah terdesak UMNO-BN sebagai usaha untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu yang lebih besar.

Melihat keadaan sebegini, beliau berpendapat bahawa tindakan UMNO-BN secara langsung adalah kempen percuma yang memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan kerana rakyat tidak akan marah sekiranya GST benar-benar memberikan faedah dan kebaikan.

Penghapusan cukai GST adalah salah satu perkara utama yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto PRU-14 mereka.

 

Menyentuh sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan, Dato’ Mafhuz memaklumkan sambutan rakyat terhadap ceramah, penerangan, taklimat dan apa juga aktiviti yang dianjurkan oleh PH amat memberangsangkan.

“Harapan rakyat begitu tinggi agar kerajaan PH mengambil alih pentadbiran negara seterusnya penghapusan GST menjadi kenyataan bagi membolehkan ia melaksanakan segala tawaran serentak dan melucutkan leher rakyat dari ikatan tali sengsara ciptaan kerajaan kleptokrasi UMNO-BN,” jelas beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

 

“Nyanyian GST sebagai cukai tidak membebankan rakyat, kononnya dengan pelaksanaan GST harga barangan turun, ternyata bohong dan “lawak bodoh”,” tegas Mahfuz.

 

Related Articles

Leave a Reply