Home SemasaGlobal Satelit Tiangong-1 terbakar

Satelit Tiangong-1 terbakar

by Noor Sheila Amin

China, 3 April – Satelit Tiangong-1 milik China terbakar ketika memasuki semula atmosfera Bumi di tengah Pasifik Selatan semalam, kata pihak berkuasa angkasa lepas China.

Sebahagian besar satelit itu terbakar ketika memasuki semula Bumi, 8.15 pagi waktu tempatan, kata pihak berkuasa dalam kenyataan ringkas di laman webnya, tanpa menyebut di mana saki-bakinya akan terhempas.

Terdahulu, stesen angkasa itu dijangka memasuki semula atmosfera di luar pantai Brazil di Atlantik Selatan berhampiran bandar raya Sao Paulo dan Rio de Janeiro.

Skuadron Pengawal Angkasa Lepas ke-18 Tentera Udara Amerika Syarikat, yang mencari dan mengesan semua objek dalam orbit Bumi berkata, ia turut mengesan Tiangong-1 ketika ia memasuki semula di Pasifik Selatan.

Ia berkata dalam kenyataan sudah mengesahkan kemasukan semula itu selari dengan Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea Selatan dan Britain.

Saki-baki Tiangong-1 terhempas kira-kira 100 kilometer ke barat laut Tahiti, kata pakar astrofizik di Universiti Kebangsaan Australia, Brad Tucker.

“Serpihan kecil pasti terhempas. Kemungkinan serpihan jatuh ke dalam lautan dan jika ada yang terjumpa, ia kelihatan seperti sampah dan tersebar ke kawasan seluas ribuan kilometer persegi,” katanya, menambah 90 peratus daripada satelit itu terbakar di atmosfera dan cuma 10 peratus terhempas, tetapi memiliki berat antara 700 kilogram dan 800 kilogram.

Jumaat lalu, Beijing berkata, tidak mungkin sebahagian besar stesen angkasa itu terhempas.

Tiangong-1 sepanjang 10.4 meter panjang itu dilancarkan pada 2011 untuk melakukan uji kaji dok dan orbit sebagai sebahagian program angkasa lepas China.

Related Articles

Leave a Reply