Home Semasa Bantuan Bakti Negara (BBN) perlu di segerakan – PVATMTBM

Bantuan Bakti Negara (BBN) perlu di segerakan – PVATMTBM

by Noor Sheila Amin

Kangar, 3 April – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen Malaysia (PVATMTBM) memohon kerajaan supaya menyegerakan bayaran Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 kepada baki 3,000 lagi ahli persatuan itu yang layak tetapi belum menerimanya, sebelum pembubaran Parlimen.

Presidennya, Ismail Abidin berkata, secara keseluruhan seramai 45,000 ahli PVATMTBM di seluruh negara memohon BBN tetapi masih ada yang belum menerimanya lagi sehingga kini.

Beliau berkata, pemberian tersebut penting kerana ahli-ahli persatuan itu bukan sahaja banyak berjasa kepada negara, tetapi juga penyokong kerajaan.

“Maka sebab itu, kita berharap bantuan ini dapat disegerakan bagi membolehkan mereka menggunakannya untuk keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang bersama Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shahruddin Ismail di Dewan 2020 di sini hari ini.

Pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan inisiatif BBN yang akan dijadikan sebagai bantuan permulaan daripada kerajaan setiap tahun, khas kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia tidak berpencen.

Bantuan tersebut bertujuan untuk membantu golongan itu meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Pada majlis berkenaan, hampir 700 ahli PVATMTBM menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan mengekalkan Shahruddin sebagai calon wakil rakyat di Parlimen berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail turut menyarankan supaya pengendalian Tabung Rayuan Hari Pahlawan yang sebelum ini diuruskan oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tantera Malaysia (JHEVATM).

“Langkah tersebut bagi membolehkan sumbangan yang diterima menerusi tabung itu disalurkan kepada persatuan-persatuan peringkat negeri,” katanya.

Selain daripada itu, beliau juga meminta agar bantuan sara hidup bagi veteran ATM yang memerlukan, dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 sebulan, serta diberikan secara automatik apabila mereka mencecah usia 65 tahun.

Related Articles

Leave a Reply