KOTA BHARU, 30 Mac – Angin perubahan PRU14 ataupun ‘perfect storm’ sudah mula dirasai terutamanya di negeri Kelantan.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, angin tersebut membawa fenomena baharu melibatkan kepercayaan pengundi kepada BN dan peluang itu hanya datang sekali dan perlu digunakan sebaik mungkin.
“Lima ‘resipi’ utama perfect storm tersebut kini sudah mula melanda negeri ini dan antaranya ialah sambutan terhadap parti kini semakin baik, termasuklah pengundi luar yang semakin yakin dengan BN.
“Selain itu, BN juga telah berjaya mengurangkan perselisihan dalaman antara ahli. Kali ini kita juga turut menyediakan calon-calon yang terdiri dari muka-muka baru dan berkarisma untuk mengemudi negeri ini.
“Dan akhir sekali, keadaan semasa pihak parti lawan. Kita tidak minta, tapi ia berlaku. Mereka semakin diambang perpecahan, mungkin ia akan memberi kelebihan kepada kita,” katanya.
Beliau berucap pada majlis ramah mesra bersama ‘YB Khairy Jamaluddin dan Fikran Hamshi’ di Hotel Perdana, yang turut dihadiri kepimpinan Pemuda dan Puteri BN negeri.
Menurutnya, kelima-lima resipi tersebut bakal membawa satu perubahan besar kepada parti dan tidak mustahil keajaiban akan berlaku terutamanya melibatkan sokongan anak-anak muda.
Beliau berkata, strategi kempen anak muda mestilah menyakinkan rakyat dan mengelak daripada mengutuk pihak parti pemerintah, memandangkan cara tersebut tidak akan memberi apa-apa perubahan.
“Ribut itu datang dan perubahan itu mesti sampai di Kelantan. Kita tidak mahu hanya berlaku di kubu kuat kita sahaja, kita nak semua. Berjuanglah dengan akal dan hati dengan baik dan prihatin,” katanya.